Sabtu, 25 Ogos 2012

Pengimport Kereta Setuju Harga Kereta Diturunkan

Posted by Kedah Lanie

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bersetuju harga kereta diturunkan dengan cara pemotongan duti eksais dan cukai import terhadap kereta.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata dengan cara itu, kereta bukan sahaja akan mampu dimiliki orang ramai tetapi pada masa sama ia juga akan merancakkan industri penjualan kereta tempatan.

"Biasanya apabila hampir dengan Hari Raya, secara purata pusat jualan kereta mampu menjual kira-kira 70 ke 80 buah kereta, sekarang hendak jual 20 buah pun susah," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi maklum balas kepada rancangan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga kereta dengan menghapuskan duti eksais dan cukai import.

Zainuddin bagaimanapun mengakui penghapusan duti eksais dan cukai import ke atas kereta akan menyebabkan negara kehilangan sedikit sumber pendapatan daripada cukai.

Namun katanya, negara masih mampu memperolehi sumber pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada sumber ekonomi selain daripada cukai ke atas kereta.

"Kalau hapuskan cukai ke atas kereta, apalah sangat kesan kepada pendapatan negara sebanyak satu atau dua bilion itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangannya terhadap industri kereta tempatan yang mungkin terjejas akibat penghapusan cukai tersebut.

Menurutnya, penghapusan cukai dan duti itu akan hanya memberi kelebihan kepada kereta-kereta import, dan bukannya kereta keluaran tempatan.

"Kalau kerajaan (sendiri) hendak hapuskan, saya menyokong penuh tetapi yang jadi masalah kereta tempatan.

"Contohnya daripada segi bahan mentah, kita masih jauh ketinggalan, orang dah pakai robot kita masih pakai tenaga manusia," katanya.

DASAR 'PENGURANGAN HARGA KENDERAAN' - Cabaran pada masa hadapan Posted by Kedah Lanie

Sebagai rakyat Malaysia, janji politik yang dilontarkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk mengurangkan harga kenderaan ternyata menggamit hati dan perasaan. Jika ini berjaya dilaksanakan, rakyat Malaysia akan merasai kesan positif dengan mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

Sebagai contoh, buat masa ini untuk kereta 1.3 cc rakyat perlu membayar RM500 untuk 9 tahun pinjaman. Dengan kadar gaji asas lepasan diploma sebanyak RM1,500.00, kadar RM500 itu menjangkau 1/3 daripada gaji asas mereka. Ditambah pula dengan syarat yang diperketatkan oleh Bank Negara, graduan yang baru bekerja terpaksa gigit jari untuk memiliki kereta baru.

Malah kenyataan daripada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, bagi tahun 2009 sahaja, seramai 542 orang atau hampir 50 peratus daripada 1,086 penjawat awam yang diisytiharkan muflis pinjaman sewa beli kenderaan. Ujarnya lagi, trend itu meningkat hingga 200 peratus pada 2010. Melihat kepada trend ini ia satu yang sanggat membimbangkan.

Justeru itu, tindakan Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kenderaan adalah perkara yang amat dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Walaubagaimanapun disebalik cadangan tersebut, Pakatan Rakyat (selaku Government in waiting) perlu melihat beberapa perkara sebelum ia mampu direalisasikan.

1. Menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya Apakah pelan jangka panjang Pakatan Rakyat dalam menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya? Mengikut kaji selidik sebuah badan bebas tempatan, penjualan kenderaan persendirian akan mengalami peningkatan hampir 50% dalam masa 3 tahun jika Dasar Pengurangan Harga Kenderaan direalisasikan. Dengan jumlah kenderaan sedia ada yang menjangkau sebanyak 9,721,447 bagi tahun 2011, adakah jalan raya kita sudah bersedia untuk menampung pertambahan sebanyak 50% kenderaan lagi dalam masa 3 tahun akan datang?

2. Tempias kepada pengangkutan awam Disamping itu juga dengan keupayaan memiliki kenderaan persendirian dipertingkatkan, keinginan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam pasti akan menurun. Berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam. Jika dasar ini direalisasikan nanti, sedikit sebanyak pengangkutan awam akan menerima tempiasnya. Oleh itu apakah mekanisme yang Pakatan Rakyat bakal gunakan bagi menggalakkan rakyat kekal menggunakan pengangkutan awam walaupun dalam keadaan kenderaan persendirian mengalami penurunan harga?

3. 'Survival PROTON dalam mendepani pasaran antarabangsa' Jika Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia pada pasca PRU ke 13, dasar kereta nasional pasti akan diteruskan dengan mekanisme yang pasti berbeza. Walaubagaimanpun, PROTON selaku Tunjang Belakang Automotif Negara pasti merasai tempiasnya. Justeru itu, bagi memastikan kesannya dalam kadar yang minima, PROTON perlu dilihat sebagai peneraju gergasi automatif negara apabila dasar 'Pengurangan Harga Kenderaan' direalisasikan. Apa yang malang, jika PROTON gagal mengharunginya dan terus tenggelam dalam Dunia Automatif Negara. Oleh itu Pakatan Rakyat perlu bersedia bagi memastikan PROTON kekal berdaya saing dan rakyat mendapat nikmatnya.

Sebagai kesimpulan Dasar Pengurangan Harga Kenderaan ternyata kena pada masanya dikala rakyat dibebani kos sara hidup yang tinggi. Walaubagaimanapun, ia perlu menjalani kajian yang mendalam bagi memastikan kelestarian negara sentiasa berterusan. Disamping beban rakyat dapat dikurangkan, negara juga turut mendapat tempiasnya, malah alam sekitar juga sentiasa terpelihara,

MOHD IKHMAL BIN MOHD ISKANDAR BBA (Hons) Transport , DBS (Transport) UiTM Bekas Pembantu Penyelidik Malaysia Institute of Transport (MITRANS) Penyelidik untuk kajian pengangkutan awam dan bas henti-henti kerajaan negeri Terengganu

<

Ahad, 27 Mei 2012

Nik Aziz Tak Kisah Siapa Jadi PM,Asalkan Islam

Sumber:Antara Pos
MACHANG: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak kisah siapa yang menjadi Perdana Menteri asalkan individu tersebut beragama Islam.Beliau berkata, Islam tidak menetapkan kaum tertentu untuk menjadi pemimpin kepada sesebuah negara."Bukan Melayu tidak apa, asalkan Islam. Islam dipimpin oleh pelbagai bangsa di atas muka bumi ini. Di Turki, Perdana Menterinya bukan orang Arab."Kalau hendak bukan Melayu tidak apa asalkan Islam. Adakah negara demokrasi beri kepada orang komunis jadi pemimpin, adakah negara komunis beri orang demokrasi jadi pemimpin.''Negara demokrasi dipimpin oleh orang amalkan demokrasi, begitu juga dengan negara komunis, maka di negara Islam, orang Islam harus menjadi pemimpin," katanya yang dipetik akhbar Mingguan Malaysia, hari ini.Akhbar itu turut melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan menyanggah hasrat Karpal yang akan berjuang bagi memastikan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.Sebaliknya Abdul Hadi menyifatkan kenyataan itu sekadar pandangan peribadi Karpal dan menegaskan PAS menyerahkan kepada ketetapan dalam resolusi pakatan pembangkang berhubung perkara itu.Sementara itu, Nik Aziz membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa pemimpin pembangkang mungkin akan menggunakan cara demonstrasi ganas dan berpanjangan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan cara demokrasi tidak memberi kemenangan kepada mereka berdasarkan sejarah dan keputusan pilihan raya terdahulu."Terbalik, Umno memang terbalik, parti dia pun dalam bahasa Inggeris. Hendak pimpin Melayu, tidakkah terbalik?"Dalam tragedi 13 Mei siapa buat karut kalau bukan Umno di Kelantan walaupun majoriti Cina sikit, kalau kami nak ganyang habis-habisan pun boleh tetapi kami tak buat."Sekarang sudah mula Umno buat ganas, tonggeng punggung, ini bukan budaya Melayu, orang Melayu beretika dan berakhlak, ini pelesit dari luar dibawa oleh Umno," katanya.

Published with Blogger-droid v2.0.4