Khamis, 26 Disember 2013

YTM Almarhum Datuk Kelana Putra Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid Undang Luak Sungai Ujung Ke- 9


Pertabalan Undang Luak

Yang Teramat Mulia Datuk Kelana Putera Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid Undang Luak Sungai Ujung ke 9 telah dikerjankan (ditabalkan) pada 25 Januari 1951 bagi mengantikan Almarhum Datuk Kelana Ma'amor bin Kassim.Upacara pertabalan telah dijalankan dengan penuh istiadat yang dijalankan di Balai Undang Ampangan,Negeri Sembilan. Pengistiharan Datuk Kelana Putera telah dilakukan sebelumnya iaitu pada 27 Mac 1946 selepas daripada kemangkatan Almarhum Datuk Kelana Ma'amor bin Kassim.Istiadat pertabalan dimulakan dengan sembilan das tembakan meriam. Seterusnya istiadat bersiram telah dimulakan oleh Dato' Batin dari Ulu Beranang dan Jenang diikuti pula oleh Dato' Mandika, Dato' Seri Maharaja Diraja dan lain-lain ahli waris. Istiadat diteruskan apabila Dato' Syahbandar mengisytiharkan pekerjaan kerajaan dan meriwayatkan riwayat hidup Undang yang baru. Dato' Laksamana dan Dato' Panglima Besar kemudiannya mengisytiharkan istiadat mengadap yang didahului oleh Dato' Mandika dan 25 orang Dato'-Dato' yang lain, Kadi-kadi termasuk Naib-naib Kadi, Penghulu, Buapak-buapak, dan waris-waris yang lain. Istiadat ini adalah mengikut aturan Adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan telah ditentukan dan bacaan doa telah menamatkan istiadat.

Kemangkatan

Pada hari Jumaat 28 Oktober 1983,bersamaan 23 Muharam, jam 8:30 pagi, Yang Teramat Mulia Datuk Undang Luak Sungai Ujung, Datuk Kelana Putra Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid,81, Undang yang ke-9 telah kembali ke rahmatullah di Rumah Sakit Besar,Seremban,Negeri Sembilan. Yang Teramat Mulia Undang Datuk Kelana Putera Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid telah dilantik menjadi Undang Luak Sungai Ujung oleh Lembaga mengikut adat istiadat pada 27 Mac 1946 dan dikerjankan (ditabalkan) pada 25 Januari 1951. Yang Teramat Mulia diputerakan di Kampung Pantai pada 13 Oktober 1902, anak bongsu Cik Noresah binti Balai dan Datuk Andulika Mendika, Tiang Balai Sungai Ujung. Beliau adalah dari Waris Hilir Kampung Godang dalam salasilah dan terombo Sungai Ujung. Datuknya sebelah bondanya ialah Datuk Laksamana Nadin. Beliau ialah keturunan Datuk Kelambu atau Datuk Tumbu yang mana kesan-kesan makamnya terdapat di Rahang. Ayahanda beliau, Undang Datuk telah meninggal sewaktu beliau berumur 6 tahun. Sepeninggalan ayahandanya Undang Datuk menolong bondanya di bendang, mencari rotan di hutan dan mengail ikan di sungai.

Pendidikan

Beliau berkelulusan darjah empat Sekolah Melayu Pantai sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sehingga tamat persekolahan. Semasa di maktab, beliau mengambil bahagian cergas dalam permainan dan gerak kerja kumpulan. Permainan yang beliau gemari ialah bola sepak dan sepak raga.

Kerjaya

Undang Datuk berkhidmat selama 37 tahun dan pernah kerja di pejabat elektrik, pejabat tanah, Seremban; pejabat daerah. Kuala Pilah; pejabat hutan serta di seksi akaun jabatan elektrik di Kuala Lumpur. Beliau juga berkhidmat dalam pasukan volunteer pada tahun 1934 hingga tamat perang duniaⅡ. Undang Datuk juga mengambil bahagian dalam pergerakan sukarela dan persatuan belia dan cergas dalam syarikat kerjasama Melayu.

Perkahwinan

Undang Datuk berkahwin dengan Toh Puan Rafeah binti Kassim, berketurunan orang-orang besar Pulau Tawar dekat Jerantut. Perkongsian beliau berdua dikurniakan Allah dengan enam cahaya mata, dua lelaki dan empat perempuan. Beliau mempunyai 12 cucu. Semasa hayatnya beliau dikenali oleh semua golongan. Beliau banyak berkhidmat meninggikan taraf hidup rakyatnya terutama mereka yang tinggal di luar bandar. Satu daripada projeknya ialah rancangan perumahan di Ampangan dikenali dengan nama Kampung Datuk Kelana Mohammad Kassim. Beliau sentiasa menggalakkan rakyatnya supaya berkecimpung dalam bahagian pembangunan dan perniagaan. Beliau juga sangat-sangat mengambil berat tentang bidang pertanian dan ternakan.

Hobi

Undang Datuk adalah peminat sukan dan pintar menembak. Hobinya suka memburu binatang liar. Kerjaya beliau yang cemerlang ialah menembak seekor harimau yang pernah dihadiahkan kepada Muzium Negara untuk tatapan rakyat. Beliau adalah pengasas dan bekas Pengerusi Kelab Menembak Negeri Sembilan serta bekas Naib Pengerusi Persatuan Menembak Kebangsaan.

posted from Bloggeroid