Khamis, 29 November 2012

Kemajmukan (Pluralisme) Dalam Islam

AL-QURAN sebagai kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah s.w.t untuk umat manusia mengandungi beberapa petunjuk yang tegas mengenai kemajmukan dan menyatakan bahawa kemajmukan itu ialah suatu ketentuan Ilahi (takdir). Oleh hal demikian itu, umat Islam wajib menerima kemajmukan dan berusaha untuk mewujudkan sikap kebersamaan bagi mengukuhkan perpaduan ummah. Kemajmukan itu ialah suatu sunnah Allah yang tidak dapat diubah oleh manusia. Rasulullah s.a.w sendiri tidak berupaya untuk menyuruh semua penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur baginda dengan pertanyaan: “Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka (seluruh manusia) menjadi orang beriman.” (maksud surah Yunus, ayat 99). Islam tidak menafikan semangat pluralisme. Pluralisme – di mana masyarakat pelbagai jenis etnik, agama dan budaya hidup dalam suasana damai dan berdampingan dalam satu bangsa. Daripada definisi ini, kita bertanya, apakah Islam menafikan semangat pluralisme di mana masyarakat kita dapat hidup damai dengan berlatarbelakangkan agama, budaya dan etnik yang berbeza? Di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis, kita menemui semangat pluralisme, di antaranya kebebasan beragama, hidup aman damai secara bersama dalam keadaan berbeza bangsa, keturunan, agama, dan budaya. Pluralisme agama sebenarnya bermaksud bahawa setiap pemeluk agama bukan sahaja dituntut untuk mengakui keberadaan dan hak agama lain, tetapi terlibat dalam usaha memahami perbezaan dan persamaan untuk mencapai kerukunan dalam perbezaan itu. Al-Quran dengan jelas menberi gambaran semangat ini melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam).” (al-Baqarah: 256) Ini bererti Islam memberikan kebebasan sepenuhnya dalam beragama. Kemudian Allah s.w.t kembali menegaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Surah Yunus: 99) Dan dalam satu firman-Nya lagi yang bermaksud: “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.” (Surah Hud: 118) Ayat-ayat ini secara tegas mengatakan bahawa seandainya Allah hendak menjadikan manusia seluruhnya Muslim, Allah pasti dapat melakukannya. Tetapi Allah tidak berkehendak sedemikian, sebab kalau pun manusia di bumi ini menjadi Muslim, mereka tetap bermusuhan dan berbeza pendapat. Oleh hal demikian itu, Allah menciptakan manusia berpuak-puak, bersuku-suku dan berbagai-bagai macam rasa untuk saling mengenal dan membangun kerjasama di atas dasar kebaikan. Firman-Nya yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-banga dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.” (al-Hujuraat: 13) Pada hakikatnya, kemajmukan diakui dan diterima oleh Islam selagi ia bercirikan kedamaian. Kegagalan dalam mengembangkan semangat tolak ansur serta pluralisme agama seperti yang tercatat di dalam al-Quran hanya akan membangkit atau memunculkan golongan Muslim radikal. Sebaliknya, keberhasilan dalam melahirkan kosep toleransi beragama amat bergantung kepada kemampuan umat Islam menanamkan kesedaran masyarakat akan prinsip al-Quran tentang pluralisme keagamaan secara umum dan bersikap positif terhadap agama lain. Ketika teks al-Quran mengandungi banyak ayat yang secara nyata mendukung pluralisme, sejarah Islam juga memberikan banyak elemen pluralisme. Ketika Nabi Muhammad s.a.w tiba di Madinah,pertama kali yang dilakukan oleh baginda ialah menyatukan masyarakat yang memiliki latar belakang berbeza, baik agama mahupun etnik. Formula yang dilakukan Rasulullah s.a.w pertama kali ialah menjejaki komposisi demografi agama dan sosial penduduk Madinah.Setelah menyatukan umat Islam di Madinah yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar, Nabi s.a.w mengadakan perjanjian di atas dasar kesatuan dan kebebasan beragama dalam sebuah perjanjian yang dikenal dengan “Piagam Madinah”. Di dalam piagam ini terdapat nilai-nilai persamaan, kebebasan beragama, hak asasi manusia, musyawarah, dan demokrasi. Demikian juga kerjasama baik antara Katholik Nestorian dan Khalifah Abbasiah sepanjang satu abad (132-236 H/750-850 M) di Baghdad, menunjukan betapa harmonisnya hubungan umat beragama di bawah pemerintahan Islam. Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang begitu singkat menjadi salah satu tonggak penting dalam sejarah Islam, kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengembangkan sikap keterbukaan dalam beragama dengan melarang meruntuhkan gereja dan memberi peluang mereka berkhidmat dalam pentakbiran kerajaan. Sikap ini merupakan wujud nyata daripada keupayaan membumikan ajaran autentik Islam, iaitu kebebasan beragama. Sewajarnya kita kembali merenung dan meneladi apa yang dilaksanakan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang berupaya menjadikan kemajmukan bukan sebagai penghalang untuk mengukuhkan sifat dan sikap ‘kebersamaan’.